Saturday, September 8, 2012

Banyak projek, tidak fokus atau kecil besarkan

Pengalaman saya dalam mengendalikan bisnes ialah banyak idea yang datang. Ada yang saya buat. Ada yang berlalu begitu sahaja. Ada yang berjaya sampai akhir. Ada yang berjaya setengah jalan.

Mana yang bagus? Siapkan sampai hujung atau bagaimana?

Tiada jawapan yang pasti. Yang pasti ialah sebab ia perlu habis ke hujung atau perlu berhenti awal. Jika dalam The Lean Startup, makin banyak eksperimen dibuat, lagi bagus. Eksperimen ini kekadang akan menyebabkan kita terus (persevere) atau tukar (pivot). Jadi tidak salah kalau berhenti di tengah jalan. Yang penting kita tahu apa yang kita buat - bukan kerana tekanan dari luar sahaja.



Ini memerlukan perspektif yang besar. Check list itu ada dalam Business Model Canvas. Apabila kita mahu memulakan sesuatu produk baru, isi kanvas tersebut. Diskusi dengan kawan. Bentangkan pada mentor atau coach. Komen dari sesiapa amat penting untuk memastikan ia patut diteruskan atau tidak (bergantung kepada anda. Jika anda masih kuat semangat, komen itu akan menjadi amat baik untuk anda)

Banyak projek..

Jawapan saya: pilih satu. Buat satu persatu.

Kalau ingin buat dua, pilih mana satu yang ingin difokus. Yang lain, serahkan kepada pasukan lain yang mampu mengusahakannya. Anda boleh bantu jika ada masa.

Tidak fokus...

Jika ada yang komen anda tidak fokus, abaikan. Yang penting anda tanya diri sendiri: anda fokus? Apa maksud fokus pada anda?

Tujuan fokus ialah untuk mendapat hasil. Kalau anda ada hasil, Alhamdulillah. Kalau fokus sangat sampai tiada hasil, bermanfaat? Sudah tentu tidak.

Kecil besarkan...

Waktu ini, saya baca buku The Lean Startup. Saya 'besarkan' masa bersama buku itu. Selepas selesai, saya besarkan Social Innovations, Inc. Dua buah buku itu adalah wakil kepada 2 projek berbeza.

Pada satu masa, yang ini besar. Pada masa lain, yang lain besar. Itu memang lumrah. Ia perlu diakui dan dimahirkan.

Kalau saya sudah buat pelbagai projek yang lepas, ia besar pada masa lepas. Kini ia 'kecil' atau boleh 'dikecilkan'. Ia boleh menjadi sub kepada projek 'besar' saya sekarang.

Saya dulu menulis Pemikiran Sistemik. Kini saya mengkaji Business Model. Saya boleh letakkan Pemikiran Sistemik sub kepada BM atau BM sebagai sub kepada PS ketika saya membuat kertas kerja atau membuat latihan. Barulah ada added value pada produk atau apa yang saya buat sekarang.

Jadi tiada isu banyak kerja atau bermanfaat atau tidak. Semua bermanfaat dengan syarat ia disusun dengan baik.

No comments:

Post a Comment